Sumber: Google Image

Pada kebiasaannya, jika kita cari maklumat mengenai perkahwinan masyarakat Iban, mesti anda akan jumpa banyak artikel atau blog yang menulis tentang adat merisik sehinggalah hari perkahwinan. Dalam penulisan saya kali ini hanya fokus mengenai acara majlis perkahwinan masyarakat Iban yang mungkin ramai yang tidak tahu suasana dan perjalanan majlis perkahwinan tersebut.

Seiring dengan peredaran masa, banyak majlis perkahwinan turut dimodenkan. Begitu juga dengan majlis perkahwinan masyarakat bumiputra di Sarawak. Walaupun sesebuah majlis tersebut berubah mengikut peredaran masa, namun terdapat adat yang masih dikekalkan dalam upacara dalam majlis perkahwinan masyarakat Iban.

Secara umumnya, dari segi bentuk geografi, Negeri Sarawak adalah sebuah negeri terbesar di Malaysia. Dan dalam Sarawak turut dibahagikan kepada beberapa daerah. Oleh itu, dalam berlangsungnya majlis perkahwinan masyarakat Iban turut mempunyai adat atau upacara yang berbeza mengikut daerah atau zone masing-masing.

Sebelum saya melanjutkan lagi penulisan dalam konten ini. Disini saya menyusun sepuluh jari meminta maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam penerangan majlis perkahwinan moden masyarakat Iban ini. Saya juga sedia menerima pendapat daripada orang yang lebih arif. Saya dibesarkan sebagai anak perantau, dan kini ingin mendalami dan mempelajari adat, budaya dan gaya hidup masyarakat Ibunda saya yang telah mengalami pemodenan.

Saya menulis mengenai satu majlis perkahwinan moden masyarakat iban di sebuah pekan kecil dalam daerah Betong. Majlis tersebut berlangsung pada cuti Tahun Baru Cina (2019) di rumah panjang pengantin perempuan, kebetulan pula saya sedang bercuti dan Auntie saya minta keluarga saya untuk membantunya membuat persiapan menyambut tetamu semasa majlis perkahwinan tersebut.  Tidak lupa juga, saya memang dah siapkan awal-awal sampul surat untuk diisi duit yang akan diberi kepada bapa pengantin.

Untuk majlis perkahwinan ini, saya dimaklumkan pengantin akan membuat majlis perkawinan secara sederhana. Secara ringkasnya saya beri gambaran kepada pembaca ala-ala seperti kenduri kesyukuran kerana telah mendapat ahli keluarga baru.

KIBARAN BENDERA SARAWAK DAN BENDERA MALAYSIA
Seandainya, anda datang ke Sarawak dan ternampak bendera Sarawak dan bendera Malaysia dikibarkan di simpang jalan. Tolong jangan salah faham, kerana itu mungkin sebagai tanda simpang jalan menuju ke rumah pengantin. Bukan sebab ada kempen pilihan raya okey. Begitu juga, sekiranya anda ternampak  bas atau lori yang membawa sebilangan orang dengan mengibarkan bendera (biasa akan dikibarkan ketika sudah hampir dengan lokasi majlis), ini bermakna kumpulan tersebut sedang menghantar rombongan pengantin lelaki atau pengantin perempuan, jangan pula anda pikir ada perlawanan bola sepak macam tu.

PERSEDIAAN UNTUK JAMUAN
Persediaan jamuan daripada keluarga pengantin
Disebabkan majlis perkahwinan tersebut diadakan di rumah panjang pihak perempuan, awal-awal pagi lagi penduduk dari rumah panjang lain yang berdekatan telah pun datang untuk bergotong royong memasak membantu keluarga pengantin perempuan. Saya lupa ambik gambar aktiviti penyembelihan khinzir dan ayam di sungai (memang aktiviti bersiang atau membersihkan daging / ayam/ ikan & sebagainya lebih mudah dilakukan di sungai, tapi kalau nak bersihkan sayur tu, orang akan basuh di rumah) 

Persediaan jamuan daripada masyarakat yang tinggal di rumah panjang yang sama dengan pengantin
Semua ahli rumah panjang turut perlu membuat persediaan jamuan masing-masing. Seandainya dalam rumah panjang tersebut terdiri daripada 20 pintu (rumah). Maka kesemua 20 pintu tersebut perlu membuat persediaan. Namun sekiranya, ada bilik kosong (rumah yang tidak berpenghuni) maka Tuan pintu tersebut akan membayar denda kepada Tuai Rumah (Ketua masyarakat).  Tujuan ahli rumah panjang membuat persediaan jamuan adalah untuk membantu meringankan beban kos jamuan keluarga pengantin. Serta untuk membantu keluarga pengantin melayan tetamu yang hadir semasa jamuan.

NAMUN, sekiranya pihak pengantin mengumumkan bahawa hanya pintu / bilik (rumah pengantin) sahaja yang menyediakan jamuan, maka ahli rumah panjang tersebut tidak perlu membuat persediaan memasak di bilik (rumah) masing-masing. Tetapi cuma membantu memasak di bilik (rumah) pengantin sahaja.

MENYAMBUT KEDATANGAN ROMBONGAN PENGANTIN LELAKI / PEREMPUAN (NIKI KA PENGABANG)
Setelah mendapat tahu mengenai rombongan pengantin lelaki akan tiba di lokasi tidak lama lagi (macam mana tahu rombongan nak sampai, zaman dah moden line telefon pun dah kat rumah panjang tapi tak semua tempat lah, bagi kawasan yang tak ada line, mereka boleh jangka berapa jam rombongan akan sampai di lokasi majlis, hebatkan), kesemua bilik (rumah) akan menghantar seorang wakil dengan memakai pakaian yang sangat cantik dan kemas, seperti baju kebaya atau pakaian yang seragam, bersiap sedia menunggu di pintu utama yang paling hujung rumah panjang, untuk mengalu-alukan kedatangan rombongan pihak pengantin lelaki. Begitu juga dengan penyambut tetamu yang terdiri daripada sepasang orang yang belum berkahwin, akan menunggu di pintu bilik (pintu rumah) masing-masing bersama dengan sebotol air arak, tuak atau minuman bergas.

Menunggu ketibaan rombongan pengantin lelaki

Mungkin ada yang tertanya, kalau lah keluarga dalam bilik (rumah) tersebut tidak ada sepasang anak dara atau teruna. Maka boleh lah pinjam dari bilik (rumah) sebelah ke, atau pinjam la girlfriends atau boyfriends dari rumah panjang lain yang berdekatan (jangan pinjam bini atau laki orang… sudah, hihihihi). Oleh itu, sesi meminjam anak dara dan anak teruna haruslah dilakukan sebelum rombongan pengantin tiba di rumah panjang tersebut.

Adik perempuan saya yang comot dan jiran sebelah

Setibanya rombongan pengantin lelaki di pekarangan rumah panjang pengantin perempuan. Tetamu disambut dengan piring (piring tu bukan pinggan ye, piring tu sejenis persembahan kepada Tuhan berdasarkan kepercayaan lama masyarakat Iban).

Ppang…Ppang…Ppang… Terdengar beberapa das tembakan ke langit dari senapang patah (ada rumah panjang yang menukar tembakan dengan bunyi mercun merah cina tu). Kemudian kelihatan tuai rumah (ketua masyarakat) rumah panjang pengantin perempuan sedang mengiring rombongan dari pengantin lelaki masuk ke ruai (ruang tamu utama) dan akan melalui setiap pintu bilik rumah panjang tersebut.

Rombongan sedang melalui pintu setiap bilik (rumah)

Ketua rombongan 

Pasangan anak muda telah pun menunggu di pintu bilik (pintu rumah) masing-masing, dan setiap tetamu akan diberi minum (arak, tuak, atau air bergas) sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu. Namun tiada paksaan bagi mereka yang tidak mahu menerima minuman yang diberi. Tetamu biasa akan menolak minuman tersebut dengan sopan sambil tersenyum manis dan bersalam dengan pasangan penyambut tersebut.

Nampak tak benda yang dipegang guna dulang tembaga tu, itu lah "piring"

Tiada paksaan untuk minum ye. senyum ye adik-adik ku, walaupun comot.


SESI “BASUH” TETAMU (AI BASU PENGABANG)
Kesemua rombongan akan duduk di ruai (ruang tamu utama) pengantin perempuan untuk minum petang. Sesi “basuh” tetamu pun bermula. Kesemua pasangan dara dan teruna tadi akan pergi kepada seorang demi seorang tetamu yang menyertai rombongan pengantin lelaki untuk memberi minuman seperti sesi menyambut tetamu di pintu bilik (pintu rumah) sebentar tadi. Sekali lagi, tiada paksaan untuk para tetamu menerima minuman yang diberi, ada juga tetamu akan menawarkan pertukaran air dengan pasangan penyambut tetamu tersebut. Sekiranya bersetuju, maka tetamu akan minum air yang diberikan oleh pasangan penyambut tetamu dan begitu juga sebaliknya, salah seorang daripada penyambut tetamu akan meminum air yang diberikan oleh tetamu.

Semua berkumpul di ruai pengantin

Setelah sesi “basuh” tetamu, maka akan diumumkan bahawa tetamu boleh berehat dan mandi di mana-mana bilik (rumah) di rumah panjang tersebut. Sementara menunggu waktu jamuan makan malam.

JAMUAN MAKAN MALAM
Sebelum jamuan dimulakan, jumlah kesemua yang hadir termasuk rombongan pengantin lelaki dan tetamu dari rumah panjang yang berdekatan telahpun dikira bilangannya. Kemudian akan diumumkan setiap ruai akan dibahagikan beberapa orang. Ini untuk mengelakan orang ramai hanya berkumpul dan bersesak di ruai pengantin perempuan sahaja.

Setelah di umumkan bahawa semua makanan sudah boleh dihidangkan, maka semua jenis masakan yang telah disediakan mengikut kemampuan tuai bilik (tuan rumah) akan dihidangkan di atas meja ruai masing-masing.

Semua masakan telah pun terhidang

**disebabkan ahli rumah panjang tersebut tidak ada yang Muslim, jadi semua makan adalah tidak halal ye. Namun ada juga tetamu Muslim yang hadir untuk memeriahkan lagi majlis.

Semua tetamu boleh pergi dari sebuah ruai ke ruai yang lain untuk mencari makanan yang mereka suka (saya beri gambaran ala-ala makanan buffet macam tu la)

Team saya yang membantu Auntie uruskan semua persediaan

DAN dalam jamuan tersebut, pengantin tidak akan makan bersama tetamu (Jadi fikir pengantin tak nak layan tetamu, dah la penat naik belon menyeberangi Laut China Selatan kan), oleh itu pengantin seharusnya makan terlebih dahulu di bilik (rumah) sebelum jamuan bermula. KERANA semasa jamuan tersebut diadakan, pengantin akan sibuk berhias atau bersolek.

Selesai makan, sekali lagi, tetamu diberi minum untuk "menyegarkan" sebelum acara seterusnya



Budak ni kena tunggu lagi 10 tahun lagi baru boleh jadi penyambut tetamu k

PERATURAN DAN HUKUMAN SEPANJANG MAJLIS PERKAHWINAN
Sebelum pengantin keluar, Tuai Rumah (Ketua Masyarakat) akan membentangkan semua peraturan dan hukuman sepanjang majlis perkahwinan berlangsung. 

Contohnya:
1.Tidak boleh merokok di dalam rumah panjang untuk mengelakan tikar terbakar atau tercucuk orang lain. (hukuman RM100 sekiranya didapati merokok dalam rumah)
2.Tidak boleh bergaduh, bagi orang yang memulakan pergaduhan akan di dikenakan hukuman RM500 serta dihantar ke balai polis. Dan sekiranya mangsa membalas tumbukan atau pukulan pula akan dikenakan hukuman RM350 serta akan dibawa kebalai.
3.Sila serahkan barang yang hilang kepada pengacara majlis.
4.Tidak boleh memaksa orang untuk minum (Hukuman RM150)
5.Tidak boleh bergurau atau mengacau isteri / suami / anak dara / anak teruna tanpa kebenaran (Denda RM200)
6. Banyak lagi peraturan lain...

Kesemua peraturan tersebut, kalau ada yang rajin menulis atau print, peraturan tersebut akan ditampal di dinding dekat dengan ruai pengantin.

PENGANTIN KELUAR DAN SESI PENGENALAN (BERTUSUT)
Setelah selesai makan, semua hidangan akan diangkat ke dapur masing-masing. Sekarang semua orang akan diminta untuk duduk dan berkumpul berdekatan dengan pelamin. Makanan ringan seperti kacang atau kuih-muih turut dihidangankan (sambil tengok pengantin, sambil makan kacang).

Pelamin

Kesemua dekorasi pelamin adalah DIY sendiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan pengantin perempuan.

Pengantin

Mungkin ada yang mempertikaikan, mengenai pakaian pengantin dalam gambar ini. kini, pemakaian pakaian tradisional Iban tidak lagi kerap digunakan atas sebab tertentu. Contohnya, sekiranya kurang salah satu dari aksesori pakaian tradisional, hal ini mungkin akan menyebabkan pakaian tersebut kelihatan "cacat" sedikit. Tidak semua keluarga mampu memiliki pakaian tradisional tersebut. Malah harga sewa pakaian tradisional juga tidak murah. Oleh itu, pengantin akan mencari alternatif lain seperti berbaju kebaya atau meminjam gaun atau menyewa gaun pengantin yang lebih mampu milik.

Pengantin sekeluarga

Apa yang berlaku semasa sesi pengenalan? Para yang hadir akan diberi pengenalan mengenai latar belakang kedua-dua pengantin. Contohnya seperti, nama sebenar, tahun kelahiran, umur, asal, bilangan adik beradik, sampai la tahap pendidikan dan jenis pekerjaan pun akan didedahkan, macam interview la pula kan (tapi kesemua maklumat tersebut akan dibincangkan bersama keluarga pengantin terlebih dahulu sebelum majlis, untuk menjaga sensitiviti kedua-dua belah pihak)

Dalam sesi ini juga, akan diumumkan kepada semua tetamu, sama pengantin lelaki akan masuk dan tinggal bersama keluarga pengantin perempuan, atau sebaliknya pengantin perempuan akan masuk dan tinggal bersama keluarga pengantin lelaki. Contohnya, keluarga pengantin lelaki dengan rela hati menyerahkan anak lelaki mereka untuk masuk dan tinggal bersama keluar pengantin perempuan kerana pengantin perempuan adalah anak tunggal dan terpaksa menjaga ibu bapanya. (hal sedemikian biasanya telah dibincangkan oleh kedua-dua belah keluarga sebelum hari persandingan, kerana bukan mudah untuk melepas anak kesayangan masing-masing)

PEMBERIAN ADAT PENGANTIN
Pemberian adat ini biasanya adalah berbentuk wang tunai. Biasanya nilai yang dikenakan adalah bergantung kepada tahap pendidikan atau status pekerjaan pengantin tersebut. Contohnya RM7 adat lelaki dan RM5 untuk perempuan. Ini bermaksud pengantin lelaki akan akan memberi RM5 kepada pengantin perempuan dan begitu juga pengantin perempuan akan memberi RM7 kepada pengantin lelaki. Adat pengantin yang paling tinggi yang pernah saya dengar adalah RM200 (ikut kemampuan keluarga pengantin).

Apa fungsi nya duit tu??? Menurut pengetahuan saya yang cetek ni, seandainya berlaku perceraian, maka duit tersebut akan dibahagikan kepada semua bilik rumah panjang. Contohnya, kalau rumah panjang tersebut ada 20 pintu, maka duit tersebut haruslah dibahagikan sama rata kepada 20 pintu tersebut dan harus memaklumkan kepada setiap pintu bahawa duit tersebut adalah duit tanda XXX bercerai dengan XXX.

Dalam perceraian, sekiranya perceraian tersebut disebabkan oleh lelaki. Maka lelaki haruslah membayar wang tunai dengan nilai yang telah ditetapkan oleh pihak perempuan semasa mereka berkahwin dulu, dan akan diagihkan kepada semua pintu rumah panjang perempuan. Namun begitu, pada zaman yang moden ini, ramai yang sudah tidak mengamalkan denda perceraian seperti ini.

KATA-KATA NASIHAT TERAKHIR KEPADA PENGANTIN (JAKU AJAR)
Semua ucapan akan dimulakan dengan pantun Iban. Keluarga pengantin akan saling berbalas pantun dalam ucapan masing-masing. Kedua-dua belah keluarga pengantin akan menghantar wakit untuk berucap dan memberi nasihat terakhir mereka kepada pasangan pengantin. Nasihat yang diberikan adakalanya sangat mengharukan, kerana selepas ini pasangan pengantin haruslah memikul tanggunjawab masing-masing dalam alam keluarga baru.

Contoh ucapan keluarga pengantin perempuan
"Anak saya XXXX, sekarang semua tanggungjawab menjaga kamu saya serahkan kepada suami yang kamu pilih sebagai teman hidup. Selepas ini, bapak tidak lagi akan menyusun selipar kamu di luar rumah, bapak tidak lagi membawa buah kegemaran kamu pulang kerumah setiap kali pergi ke kebun,... Jadilah menantu yang baik, seandainya ibu mentua mu bangun pukul 5, kamu bangun lah pukul 4 untuk menghidangkan sarapan untuknya...... Sekiranya kamu rindu akan kami, sila jenguklah kami sebentar... Dan seandainya suami, sudah tidak perlukan kamu, pulanglah anak ku, kerana pintu rumah kita sentiasa terbuka untuk kamu..... Wahai besanku, sila beri tunjuk ajar kepada anak perempuan kami, dia memang tidak pandai masak, bangun lewat, dan banyak lagi kelemahannya.... Wahai menantuku, jaga lah anak ku yang telah kau pilih untuk melengkapi tulang rusukmu..... Seandainya kamu sudah tidak suka, tidak sayang, dan bosan dengan anak saya, jangan dipukul, sila hantar dia pulang kepada kami semula..." DAN SETERUSNYA... panjang ucapan. 

SESI MEMOTONG KEK DAN BERTUKAR CINCIN
Selesai sahaja ucapan kata nasihat, pengantin akan memotong kek serta bertukar cincin.

BERAMBU ISAN
Ia boleh saya beri gambaran sebagai adat berbesan. Dalam acara ini, semua keluarga yang berstatus “ibu” dan “bapa” iaitu Uncle dan Auntie kepada pengantin akan minum bersama. Keluarga pengantin akan membuat pertandingan minum antara besan. Contohnya, ibu pengantin lelaki akan berlawan dengan ibu pengantin perempuan. Minuman yang sering digunakan ialah air tuak atau arak, namun sekiranya ada besan yang tidak minum minuman keras, mereka akan diberi air manis (air oren/ sirap/ dan sebagainya)

Keluarga pihak lelaki di barisan kiri, dan keluarga pihak perempuan di sebelah kanan

Emak kedua-dua pengantin

AIR YANG DIHIDANGKAN OLEH PENGANTIN (AI PENGANTIN)
Pengantin akan menuangkan air untuk diberi kepada semua tetamu. Oleh itu pengantin akan pergi kepada seorang demi seorang tetamu yang ada diruai untuk diberi minum. Biasanya air yang akan diberi kepada tetamu adalah air minuman keras, sekiranya terdapat tetamu yang hadir tidak minum air minuman keras, maka tetamu akan menolaknya dengan sopan. Begitu juga sekiranya tetamu Muslim yang hadir, pengantin akan pergi kepadanya dan tetamu Muslim tersebut akan menolak dengan sopan sambil mengucapkan selamat pengantin baru. 

Disinilah saat pengantin perempuan atau pengantin lelaki akan memperkenalkan semua ahli keluarga dan sahabat masing-masing. Contohnya, apabila menuang air untuk makcik, pengantin perempuan akan bagitau kepada si pengantin lelaki bahawa itu adalah makciknya.

Sambil menunggu pengantin menuang air, para tetamu turut disajikan dengan makanan ringan.
Setelah pengantin selesai menuang air untuk semua tetamu, maka tibalah waktu untuk berhibur seperti karaoke.

MINUM TENGAH MALAM
Waktu tengah malam, tetamu akan dihidangkan teh panas atau kopi panas. Semua bilik (rumah) akan menyediakan air minuman dan sedikit makanan ringan untuk tetamu. Namun, jika keluarga pengantin mengumumkan bahawa air untuk minum tengah malam akan disediakan oleh bilik (rumah) pengantin sahaja, maka bilik (rumah) lain tidak akan menyediakan air.

Sekiranya acara daripada keluarga pengantin terlalu lama, adakalanya minum tengah malam ini akan berlangsung lebih lewat. Contohnya pukul 2 pagi atau lebih lewat lagi.

Oleh itu, kedua-dua keluarga pengantin seharusnya berbincang terlebih dahulu sebelum hari majlis perkahwinan, bagi mengelakkan tetamu menunggu terlalu lama.

ROMBONGAN PULANG
Kebiasaannya, semua ahli rombongan akan pulang sebelum hari siang. Dan si pengantin harus tinggal sekurang-kurangnya 3 hari di rumah panjang tersebut sebelum membawa pasangannya pulang atau kembali bekerja.

Ni la Auntie saya yang cantik. Umur dah 71 tahun, tapi masih sihat dan cantik.

Terima kasih kepada Auntie yang sudi mengundang kami. dan saya minta maaf kepada semua anak Auntie sebab saya pinjam rumah panjang ni untuk buat blog. Alaaaa korang kan sibuk semua kerja tak boleh balik kampung, gambar ni semua kira upah kami dah tolong buat persiapan la ye, hihihihihihihi. Auntie pun happy tau.

MORAL YANG SAYA DAPAT
Nilai sebuah persiapan majlis tidak menjamin kebahagiaan. Tak salah berbelanja lebih untuk majlis tetapi berbelanjalah ikut kemampuan. Zaman semakin berubah, ramai yang turut tidak mahu ketinggalan mengejar arus pemodenan dan meninggalkan kehidupan suasana kampung, tetapi saya berharap sikap saling membantu, bergotong-royong, saling menyokong, serta saling hormat-menghormati dalam kehidupan masyarakat akan terus berkekalan.

**************************
Sekian sahaja coretan diari Chrissella pada kali ini.
Terima kasih kerana sudi singgah di blog Chrissella.

SHARE 25 comments

Add your comment

  1. woww.. macam-macam adat rupanya ada yea.. baru tahu tentang masyarakat iban moden punya adat dalam perkahwinan, tapi macam gaya perkahwinan iban moden ni, tak perlu nak susah2 cari pakaian tradisional iban yang dikatakan mahal kalau untuk disewa tu kan? nampak lebih mudha dan ringkas je ..

    BalasPadam
    Balasan
    1. pakaian adalah ikut kemampuan si pengantin. sebab saya pernah hadir majlis kawan, dia dan husband cuma pakai blouse dan seluar jean je. Bagi mereka, majlis tersebut adalah untuk meraikan kedatangan ahli baru dalam keluarga.

      Padam
  2. Bukan selalu dapat hadir majlis perkahwinan yg berlainan bangsa & budaya. Ai kalau kawan-kawan yang beragama lain atau ada adat lain ai akan cuba hadir sebab nak ada pengalaman tu.

    BalasPadam
  3. Ni masih meriah jugak ni walaupun sederhana. Menarik jugak ada yang masih mengikuti adat macam ni. Selalu kat Miri, ada yang dah bawa some adat je ke resepsi hotel. Rumah panjang memang best untuk majlis.

    BalasPadam
  4. Bagus kalau boleh attend perkahwinan macam ni. Bukan selalu boleh tengok perkahwinan yang unik ni. Adik ipar saya orang Sarawak jadi pernah la attend dulu perkahwinan masyarakat melayu Sarawak area Simunjan. Unik. Berbeza dari kat Semenanjung.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau ada peluang, saya pun teringin menghadiri Majlis perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak. Sebab tak pernah pergi lagi

      Padam
  5. Sama-sama Iban tua. Haha. Best mai maioh bala pengabang. Rindu begagai enti bisi kaban belayan bakatu. Thanks Chris laban sharing info pasal pengawa melah pinang kitai Iban ditu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Auk, nasib ga rumah sidanya semen, tik agi kayu baka kelia nyau beguyat rumah. hahaha. Ngarap k amat lah utai k di padah ku ba blognya, ndak alah kumbai urang bula lagi. Parai kitai.

      Padam
  6. Manah endar tusun ringtai pasal adat perkahwinan ke digaga nuan tuk kakak, rindu mat ku macha ea...😘

    BalasPadam
  7. Wah panjangnya entry ni. Anyway teringin juga nak belajar budaya masyarakat Sarawak, teringin juga nak cuba nginap di rumah panjang. Memang menarik betul belajar budaya orang .

    BalasPadam
  8. Menariknya majlis kahwin dekat sana. Teringin jugak sebenarnya nak join dan tengok majlis majlis macam ni. Boleh belajar benda baru

    BalasPadam
  9. Bestnya dapst attend majlis perkahwinan yang berlainan budaya .Teringin juga nak hadir majlis perkahwinan area sana sebab bagi saya majlis perkaheinan mereka unik dan sekaligus boleh mendalami budaya orang sana .

    BalasPadam
  10. Bagus you cerita pasal ni, sebab baru nampak dengan jelas macam mana acara kawin dilakukan di rumah panjang.. Boleh bayangkan satu-satu. .Best tengok ramai-ramai macam ni. .Meriah

    BalasPadam
  11. Satu pengalaman yang menarik lah kita sendiri tak tahu yang banyak pantang larang yer sepanjang majlis perkahwinan masyarakat kat sana hehehehe kalau ada rezeki nak juga pergi tengok sediri depan mata acara yang meriah macam ni...

    BalasPadam
  12. Wahh... menarik! First time baca kisah pengantin dari kaum iban. Kalau u tak share mmg tak tahu adat dia orang. Nnt share lagi kisah/ mcm ni yer

    BalasPadam

  13. Very nice written chriss! Enjoy the reading and so much informstion. Dulu pernah lawat rumah panjang di sarawak. Baik2 orangnya. Perkahwinan iban bagi saya dr pembacaan sangat mementingkan keharmonian, masyarakat, kejiranan dan sangat modest ya. Bagus sungguh dengan peraturan lagi. Salute u guys :)

    BalasPadam
  14. baru tahu adat perkahwinan iban ni..bagus ada yang nak bercerita sebab ini salah satu budaya yang patut rakyat malaysia tahu..dan terpegun liez tgk rumah panjang tak seperti yang liez rasa.. rumah panjang dah moden

    BalasPadam
  15. Menarik baca info blog ni.. Teringat nak tau adat org sarawak kawen dirumah panjang cmne. Hehee. Akhirnya dpt juga baca kat sini... Sbb saya akan ke sarawak utk lihat kawan sy kawen nnti.. Bila dh tau kt sini bolehlah waspada skit2 bhgian jamu mknn & minuman...

    BalasPadam
  16. I have Sarawakian friends from uni but they are malays lah but I like learning Sarawak bahasa with them. Been to the cultural village once and my girl wore the Iban costume. So cute!

    BalasPadam
  17. saya baru tahu tentang budaya salah satu etnik di sarawak...agak menarik dan saya memang sangat syorkan orang luar untuk membacanya...costume iban tu cantek...dan agak rare cara pemakaiannya ya

    BalasPadam
  18. Terpegun sekejap baca coretan ni.
    Seronok tengok buat majlis perkahwinan dirumah panjng.
    Dan nampaknya semua berganding bahu untuk membantu menjayakan majlis.
    Dan part paling touching bila baca pada kata kata nasihat terakhir tu..
    Syahdu rasanya.

    BalasPadam
  19. Setuju, berbelanja untuk majlis perkahwinan yang sempurna itu tak salah, tapi berpada-pada.Yang penting keberkatan dalam majlis dan hubungan suami isteri yang baru terjalin itu kekal

    BalasPadam
  20. Comelnya ada peraturan untuk denda duit dan hukuman sewaktu majlis dijalankan. Rasanya supaya semua orang hormat dan pandang serius terhadap majlis perkahwinan ni. Bagus jugak!

    BalasPadam
  21. Saya suka adat dan budaya di negeri Sarawak. Terutamanya Majlis perkahwinan yg plbagai unik. Suasana yg cukup meriah di rmh panjang. Saya pernah ke Majlis kahwin org iban, sangat seronok. Paling best saya tengok pengantin lelaki m'cari pengantin perempuan di dalam bilik sangat romantic untuk di bawa keluar.

    BalasPadam

© Diari Chrissella · THEME BY WATDESIGNEXPRESS